Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua,kanan) menunjukkan buku Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang ketika majlis pelancaran program Publisiti Dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang 2030 di Galeri Batu Arang, Gombak pada 21 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat dipelawa beri idea jayakan draf rancangan Bandar Batu Arang 2030

RAWANG, 21 OKT: Orang awam diminta memberi cadangan dan idea bagi menjayakan draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Batu Arang 2030.

Pandangan boleh dikemukakan mulai hari ini hingga 21 November di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Batu Arang, Tingkat 16, pejabat PlanMalaysia@Selangor dan lobi Menara Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dato’ Menteri Besar berkata penglibatan orang ramai dalam draf RKK ini penting dalam menjadikan tapak warisan Batu Arang sebagai destinasi pelancongan selaras aspirasi Gombak-Hulu Langat Geopark sekali gus membawa kemajuan kepada Selangor.

“Pada masa sama mencapai hala tuju perancangan pembangunan yang dapat memenuhi kehendak serta keperluan semua pihak. Jadi maklum balas mahupun bantahan akan diambil kira sebelum draf RKK dimuktamadkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Berucap di Galeri Batu Arang dekat sini, beliau turut meminta agensi pelaksana menjadikan dokumen RKK sebagai asas pertimbangan kelulusan untuk mendapat peruntukan tertentu daripada kerajaan persekutuan dan negeri.

Jelas Amirudin RKK itu juga tidak harus dilihat sebagai dokumen untuk mengawal pembangunan semata-mata, sebaliknya dokumen perundangan yang perlu dijadikan medium menarik pelaburan bagi kemajuan sesuatu kawasan.

“Malah dokumen RKK membolehkan pembangunan diurus dengan lebih tersusun dan efektif dalam memenuhi keperluan serta kehendak masyarakat sebagai penerima manfaat utama,” katanya.

Borang cadangan boleh dimuat turun melalui laman sesawang https://www.mps.gov.my. Sebarang pertanyaan lanjut hubungi 03-61265874/5865/5872 atau emel [email protected].


Pengarang :