Infrasel menurap Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Shah Alam pada 21 September 2022 selepas menerima aduan orang ramai dengan tanda pagar #Infrasel menerusi Twitter sehari sebelum itu. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Penduduk lega jalan berlopak dibaiki segera, kurang risiko nahas

SHAH ALAM, 21 OKT: Penduduk Kampung Paya Jaras Dalam di sini lega kerana kebanyakan aduan jalan berlopak di perkampungan itu dibaiki segera oleh Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampungnya Zolhainan Noordin berkata banyak laluan rosak dibaiki dalam tempoh 24 jam selepas aduan dikemukakan, terbaharu membabitkan Jalan Rahidin 1.

Penduduk membuat aduan menerusi Twitter pada 20 September dan laluan berlopak itu siap dibaiki pada keesokan harinya.

Zolhainan Noordin

“Terima kasih kepada Infrasel yang bertindak segera terhadap aduan dikemukakan, mereka terus baiki selepas mengesahkan status laluan berkenaan di bawah jalan negeri.

“Perjalanan penduduk lebih selesa dan tidak bimbang melalui jalan rosak yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya pada 25 September.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menggalakkan orang ramai untuk membuat aduan berkenaan jalan berlopak menerusi Twitter melalui tanda pagar #Infrasel #namadaerah dan #namajalan.

Setiap aduan akan disemak dan kerja baik pulih dilakukan 24 jam selepas itu.


Pengarang :