Sebahagian peserta yang menyertai larian ‘Fun Run’ sejauh lima kilometer sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hari Shah Alam tanpa kenderaan meriah, lebih 3,000 pengunjung sertai aktiviti

SHAH ALAM, 16 OKT: Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan berkata program sempena sambutan Ulang Tahun ke-22 MBSA itu dinanti orang ramai berikutan pelbagai aktiviti menarik disediakan.

Menurutnya ‘Fun Run’ sejauh lima kilometer dari dataran melalui pusat bandar raya ini menjadi tumpuan apabila disertai lebih 1,500 peserta daripada pelbagai lapisan umur dan kaum.

“Kita berterima kasih kepada orang ramai yang menjayakan program ini sekali gus menyokong aspirasi bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Walaupun ketika sebelum era Covid-19 jumlah pengunjung mampu mencecah sehingga 6,000 orang, tetapi selepas pandemik kita bermula agak perlahan dengan 3,000 pengunjung,” katanya ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata MBSA merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang memelopori program Hari Tanpa Kenderaan sejak 2018.

“Alhamdulillah, kita berjaya anjur setiap bulan pada Ahad minggu kedua tanpa gagal. Malah hasil percambahan idea kita, program ini menjadi ikutan oleh PBT lain di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Berlangsung dari jam 7.30 pagi, program itu menyediakan aktiviti seperti kayuhan santai, senamrobik, zumba, persembahan tarian kebudayaan, brassband, cabutan bertuah, kuiz dan memanah.

Turut diadakan aktiviti memanjat dinding buatan, belon udara panas, ‘Eco Free Market’ selain perkhidmatan Shah Alam on Wheels, perpustakaan bergerak, pameran cari dan musnah Aedes.

Selain itu, pameran Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MBSA, pameran kitar semula dan perkhidmatan saringan kesihatan.

Kanak-kanak mengambil bahagian dalam aktiviti memanjat dinding buatan sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 16 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Pengarang :