Petugas kesihatan membuat pemeriksaan mata ketika Program Selangor Saring dan Derma Darah DUN Bandar Baru Klang di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANA

Kesihatan agenda utama negeri, tawar 10 program lindungi rakyat

SHAH ALAM, 13 OKT: Isu kesihatan awam antara aspek dititik berat Kerajaan Negeri. Sektor itu diberi keutamaan dalam mengagihkan hasil atau kekayaan secara saksama untuk kesejahteraan rakyat.

Usaha itu diperhebat sejak 2018 terutama ketika penularan Covid-19 di seluruh dunia dua tahun lalu. Program paling dirasai pastinya Iltizam Selangor Sihat (ISS).

Inisiatif itu antara lain mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah mendapat rawatan di pusat swasta. Seramai 100,000 penduduk atau 16,500 orang di setiap daerah bakal menikmati manfaatnya.

Menerusinya, pemegang polisi keluarga boleh mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500 setahun manakala RM200 untuk kumpulan bujang.

Ia turut menyediakan perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000 selain peserta ditawarkan suntikan vaksinasi sebagai perlindungan.

Peserta membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selaras dengan hasrat membantu golongan memerlukan, Kerajaan Negeri meletakkan syarat yang mengkhususkan pemohonnya mesti berpendapatan bawah RM3,000, menghidap penyakit kronik dan mempunyai bilangan isi rumah ramai.

Keseluruhannya RM67 juta diperuntuk bagi melaksanakan semua inisiatif di bawah ISS. Keistimewaan ini hanya ada di Selangor, membuktikan komitmen menjaga kebajikan rakyat dalam bidang kesihatan.

Di bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP), sekitar RM67 juta diumum oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Ia bagi menganjurkan sembilan lagi program lain iaitu Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor dan Saring Selangor.

Cegah awal

Turut terkandung Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.

Semua lapisan masyarakat menerima perlindungan menerusi 10 inisiatif di bawah kluster kesihatan yang mana ia telah menampakkan hasil. Contohnya Selangor Saring yang dianjurkan bagi mengesan gejala awal atau tanda penyakit kronik, sebagai pencegahan awal bukan merawat semata-mata.

Program menjelajah ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Mei sehingga September lalu itu mengesan 4,809 individu yang disarankan mendapat rawatan lanjut.

Pengunjung menjalani pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN

Bayangkan jika tidak dikesan lebih awal, mungkin keadaan pesakit lebih teruk tanpa ada rawatan segera. Kos perubatan juga melambung tinggi.

Seramai 45,000 individu tampil membuat saringan menerusi inisiatif berkenaan, melebihi 31,000 daripada sasaran. Sambutan menggalakkan itu memungkinkan Kerajaan Negeri untuk meneruskannya.

Mendepani masa depan Kerajaan Negeri pastinya menjadikan kesihatan awam sebagai agenda utama. Perkara itu diakui Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Rakyat Selangor pastinya bertuah kerana ‘sakit kepala’ mereka ‘diubati’ segera menerusi program kesihatan khas yang hanya ada di negeri ini.


Pengarang :