Penduduk mengambil peluang mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan AU1C/1 Keramat Permai, Hulu Kelang pada 26 Oktober 2022.. Foto Facebook SAARI SUNGIB
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 4,000 penduduk Hulu Kelang peroleh manfaat program jualan murah

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN

SHAH ALAM, 27 OKT: Seramai 4,500 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang menerima manfaat daripada program Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Kerajaan Negeri.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Kelang Mohd Helmizan Abdul Karim berkata sambutan terhadap program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) amat menggalakkan.

“Program ini sudah 15 kali diadakan di sini dan mendapat sambutan memberangsangkan. Setiap kali berlangsung semua barangan dijual habis kira-kira sejam sebelum 1 petang,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Helmizan, program itu akan diadakan di tiga lagi lokasi dalam DUN berkenaan iaitu 31 Oktober, 1 dan 2 November untuk memberi peluang penduduk mendapatkan barang keperluan harian.

Sementara itu, wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata program jualan murah di Dewan Opera Pasir Penambang semalam selesai selepas satu jam 15 minit dibuka.

“Sejak 9 pagi lagi penduduk sudah beratur mahu membeli barangan asas dan dalam masa 90 minit semua barang habis dijual. Produk paling laris sememangnya ayam. Sebanyak 500 ekor ayam dibekalkan dalam program semalam,” katanya.

Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Permatang di Dewan Opera Pasir Penambang pada 26 Oktober 2022 mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat. Foto Facebokk ROZANA ZAINAL ABIDIN

Tambah Rozana, program tersebut akan diteruskan di DUN Permatang pada Sabtu ini di Kampung Bestari Jaya.

Program Jelajah Ehsan Rakyat bermula 6 September sehingga 6 Disember ini menawarkan jualan barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Produk dijual meliputi ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek) minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :