Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) ketika merasmikan penutupan Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 19 Oktober 2022. Foto Facebook Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais belanja lebih RM2 juta tangani isu kesihatan mental

SHAH ALAM, 19 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membelanjakan sebanyak RM2.01 juta melalui peruntukan asnaf riqab bagi membantu pesakit mental.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata peruntukan menerusi operasi Rumah Pemulihan Riqab membantu golongan tersebut pulih dan menjalani kehidupan normal.

“Kita telah santuni seramai 134 pesakit mental di Selangor sehingga September lalu dengan kerjasama Yayasan Kesihatan Mental dalam bentuk latihan dan kursus di beberapa Rumah Pemulihan Riqab yang berdaftar di bawah Mais.

“Khidmat kaunseling yang betul dan selaras dengan kehendak syarak juga memainkan peranan yang penting dalam membantu isu kesihatan mental tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Abdul Aziz merasmikan penutupan Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Seramai 200 peserta hadir dalam program itu melibatkan wakil rumah pemulihan riqab, Yayasan Kesihatan Mental, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan dan Jakim.

Mais memperuntuk sejumlah RM21.1 juta untuk melaksanakan pelbagai program melibatkan golongan asnaf riqab tahun ini.

Perbelanjaan melibatkan aktiviti bimbingan, pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan supaya golongan tersebut kembali ke pangkal jalan.


Pengarang :