Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (kanan) bercakap dalam sidang media di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN gesa polis, SKMM ambil tindakan tegas individu cetus huru-hara

SHAH ALAM, 23 NOV: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas terhadap warga maya yang menimbulkan unsur kebencian kaum ketika ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata keadaan boleh menjadi lebih parah hingga menimbulkan sikap pelampau (ektremis) jika terus berleluasa.

“Bibit-bibit kebencian sudah timbul di media sosial. Ada juga yang bangkitkan kejadian 13 Mei. Sikap melampau ini kena dikawal kerana boleh menjejaskan keharmonian dan rosakkan imej Islam.

“Jadi, semua ini kena dibendung untuk kesucian Islam,” katanya, yang menegaskan tidak teragak-agak membuat laporan polis jika mengesan ada individu berbuat demikian.

Beliau yang ditemui di lobi Dewan Annex di sini hari ini mengulas isu perkauman yang dimainkan pihak tertentu di media sosial berkait keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Semalam, SKMM memberi amaran kepada orang ramai terutama pengguna media sosial supaya tidak membangkitkan isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan raja.

Hari ini, polis turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai memuat naik video di Instagram berhubung ketidakpuasan hati terhadap Yang Dipertuan Agong dalam memilih perdana menteri.


Pengarang :