Penyanyi rap Altimet ditemu bual Media Selangor di pekarangan Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang Jaya pada 11 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Altimet bakal cipta lagu khas KEADILAN, tunggu ilham tiba

AMPANG JAYA, 11 NOV: Penyanyi rap, Altimet berhasrat mencipta lagu khas buat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) namun masih menanti masa dan ilham tiba.

Altimet atau nama penuhnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, mengakui mendapat permintaan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menghasilkan karya.

Bagaimanapun pelantun Sang Saka Biru menjelaskan proses mencipta lagu bukan mudah selain memerlukan perancangan.

“Buat masa ini, saya belum rancang lagi cipta lagu sebab bidang kreatif kita ikut hati. Pada pengalaman saya, kalau kita berkarya guna otak selalunya tak menjadi dan tak sedap, jadi bila sampai (ilham), sampailah.

“Saya sudah beritahu presiden (Anwar) kalau ada, adalah. MB (Amirudin) pun tanya, saya beritahu bila benda itu sampai (ilham) dan sudah ada, saya maklumkan. Tetapi selagi tak sampai, kita berdoa sahajalah,” katanya ditemui di Masjid Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Ditanya adakah lagu tersebut bergenre rap, Ketua Cabang KEADILAN Ampang berkata konsep mungkin ditukar sedikit supaya kedengaran lebih menarik.

“Kalau genre rap, saya menyanyi tidak merdu sangat tetapi tiada masalah kerana kita boleh pilih orang yang boleh menyanyi. Yang penting (lagu) datang daripada pena saya juga,” katanya.


Pengarang :