Calon Pakatan Harapan Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Kenduri Rakyat di Surau Al-Abrar, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin harap pengundi terima tawaran majukan Gombak

GOMBAK, 11 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pengundi menerima tawaran lima tahun untuk beliau membangunkan Gombak antaranya menumpukan usaha memperkasa pendidikan.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengagihkan 10,000 komputer riba dan peranti kepada pelajar kurang berkemampuan jika menang pada 19 November ini.

Menurutnya, ramai pelajar tercicir kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian susulan penutupan sekolah ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Untuk membantu mereka yang ketinggalan dan tiada kemampuan kewangan ini, kita akan berikan komputer riba.

“Harap orang Gombak dapat beri perhatian kepada tawaran saya, mengenali saya sejak dahulu dan macam mana mewakili kawasan ini (Sungai Tua),” katanya pada kenduri rakyat di Taman Selayang Utama di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Abrar.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menunjukkan risalah Deklarasi Gombak Bermaruah 5 Tekad Untuk 5 Tahun selepas sidang media di Taman Samudera, Gombak pada 10 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semalam, Amirudin menawarkan 10,000 komputer riba dan peranti bagi tujuan pendidikan dan keusahawanan di Parlimen Gombak menerusi Deklarasi Gombak Bermaruah.

Turut ditawarkan latihan kemahiran kepada wanita bagi menambah pendapatan isi rumah, membina pusat rehat kepada penunggang e-panggilan dan membantu rakyat memiliki rumah mampu milik.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :