Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) mengangkat tangan kepada penyokong selepas diumum sebagai calon Parlimen Gombak di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak pada 5 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Azmin terpesong punca lahir kerajaan tidak stabil, kata Amirudin

GOMBAK, 5 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan penyandang kerusi Gombak terpesong dari perjuangan hingga menjadi antara punca lahirnya kerajaan persekutuan yang tidak stabil.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu juga menegaskan beliau tidak mengikut haluan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana percaya dasar gabungan tersebut jelas membawa kesejahteraan negara.

“Saya ambil langkah setia dengan HARAPAN kerana dasar kita jelas untuk kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia. Beliau (Azmin) mengambil langkah dan memesongkan ke jalan lain (dan) telah melahirkan kerajaan-kerajaan tidak stabil,” katanya.

Ditemui selepas proses penamaan calon di sini hari ini, Amirudin yakin sokongan penyokong tegar dan suara hati pengundi Gombak mampu memenangkan HARAPAN walau bersaing dengan calon berpengalaman.

Pengerusi HARAPAN Selangor itu juga menjelaskan beliau banyak menyelesaikan masalah rakyat di parlimen tersebut sejak Azmin meninggalkan HARAPAN kira-kira dua tahun lalu.

“Saya guna segala keupayaan sebagai Dato’ Menteri Besar untuk membantu menyelesaikan isu setempat dan masyarakat. Kita tunggu kempen berjalan dan ada beberapa isu akan dibangkitkan.

“Dalam satu atau dua hari ini saya akan bentang perancangan dan tawaran untuk Gombak khususnya bawah Amirudin Shari sebagai ahli parlimen Gombak,” katanya.

Selain mencabar Azmin dari Perikatan Nasional (PN), beliau juga bersaing dengan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Datuk Dr Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).


Pengarang :