Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2023 di Bangunan SUK pada 25 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan 2023 tumpu usaha pulih ekonomi, kekal jaga kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 26 NOV: Wakil rakyat negeri ini menyifatkan Belanjawan Selangor 2023 yang dibentang semalam menumpukan usaha pemulihan ekonomi tanpa meminggirkan kebajikan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi berkata perbelanjaan RM2.45 bilion disifatkan relevan untuk menstabilkan semula ekonomi di samping melaksanakan pelbagai inisiatif buat rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi

Beliau memuji usaha negeri menaikkan nilai baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini termasuk baucar Jom Shopping Perayaan yang ditingkatkan kepada RM200 bagi membantu golongan memerlukan.

“Belanjawan kali ini agak realistik dan kena pada masanya kerana lebih menumpukan usaha untuk mencerdaskan ekonomi Selangor, pada masa sama turut mengekalkan nama-nama baik skim kebajikan yang selama ini dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Saya melihat kewajaran Kerajaan Negeri meningkatkan bantuan SMUE memandangkan sebelum ini saya pernah bawa usul berkenaan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS),” katanya kepada Selangorkini.

Najwan turut menyambut baik belanjawan kali ini yang turut menekankan segmen anak muda melalui peruntukan RM2.38 juta bagi pelaksanaan program Penggerak Belia Selangor (PeBS).

“Peruntukan ini juga wajar kerana ramai anak muda di Selangor ketika ini dilihat tidak begitu aktif, jadi apabila ada bajet boleh kita melaksanakan banyak program yang boleh memberi impak kepada mereka,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin

Sementara itu, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata peruntukan tambahan untuk program kebajikan membantu meringankan beban susulan situasi ekonomi lebih mencabar tahun depan.

“Misalnya skim SMUE, Jom Shopping Perayaan dan bonus kepada penjawat awam yang dianggap sebagai bantuan serta penghargaan besar terhadap golongan ini.

“Tambahan pula negara baru sahaja pulih daripada pascapandemik Covid-19, jadi program bantuan sebegini sangat membantu rakyat bagi mendepani keadaan ekonomi yang mungkin lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar

Bagi ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar, belanjawan negeri tahun depan merangkumi semua pihak baik anak kecil, golongan muda, wanita dan orang kelainan upaya (OKU).

“Saya kira belanjawan kali ini untuk semua walaupun pada awalnya kita nampak lebih fokus kepada golongan wanita terutama yang tidak bekerja dan tiada penjagaan anak.

“Saya juga menyambut baik Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang akan ditambah termasuk Jom Shopping Perayaan dan SMUE untuk semua bangsa,” katanya.

Ketika membentang Belanjawan 2023 semalam, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM2.45 bilion diperuntuk sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.25 bilion atau 51 peratus diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus dan 1.2 bilion lagi untuk pembangunan.


Pengarang :