Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana RM6 juta promosi pelancongan pascapandemik

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 26 NOV:  Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk memperkasa industri pelancongan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dua kempen promosi pelancongan dilaksanakan iaitu ‘Pusing Selangor Dulu!’ bagi domestik manakala pasaran antarabangsa ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.

Katanya, acara mega Konvensyen Global Tourism Selangor 2023 pula diteruskan dengan berkonsep peniaga kepada pelanggan menerusi peruntukan RM1 juta.

“Acara tersebut memfokus konsep ‘Travel Fair’ yang memberi peluang kepada pelancong mendapatkan diskaun harga terbaik untuk pakej pelancongan di Selangor.

“Program mega yang dirangka itu mampu meningkatkan profil pelancongan negeri ke peringkat yang lebih tinggi lagi khususnya ke peringkat global dan daya tahan industri pelancongan negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 semalam.

Amirudin menambah pertandingan membabitkan masyarakat, persatuan dan agensi pelancongan juga akan dianjur untuk menyemarak semula sektor pelancongan domestik yang terjejas akibat pandemik.

“Orang ramai, persatuan atau agensi pelancongan boleh mendapat geran sehingga RM 20,000 bagi membantu penggiat industri lebih aktif mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM2 juta bagi menaik taraf produk pelancongan selain berusaha memajukan kraftangan.


Pengarang :