(Gambar hiasan) Ilustrasi diabetes yang dikongsikan di laman web diabetes.co.uk/diabetes
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kes kian membimbangkan, bayi tidak terkecuali hidap diabetes

Oleh Balkish Awang

Artikel ini bersempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada setiap 14 November.

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Diabetes tidak mengenal usia, termasuk bayi yang baru lahir juga boleh menghidap penyakit itu.

Dikenali diabetes neonatal, menurut pakar, antara puncanya ialah mutasi gen yang menyebabkan bayi tidak dapat menghasilkan insulin.

Berdasarkan tinjauan ahli pediatrik endokrinologi, pada 2019 sahaja kira-kira 1,500 kanak-kanak di negara ini dikesan menghidap Diabetes mellitus atau kencing manis.

Jenis satu dan dua

Mengulas lanjut kepada Bernama, Dr Ch’ng Tong Wooi, pakar perunding kanak-kanak dan pakar endokrinologi kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), berkata antara gejala yang ditunjukkan oleh bayi penghidap diabetes ialah saiznya lebih kecil semasa dilahirkan, berat badan tidak bertambah, penurunan berat badan serta mengalami rasa lapar melampau.

“Diabetes berlaku disebabkan oleh kadar gula dalam darah yang tinggi. Terdapat beberapa klasifikasi diabetes, dan yang paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak ialah jenis 1 dan jenis 2.

“Diabetes jenis 1 selalunya berlaku seawal usia enam bulan ke atas dan ia akan berlaku sebelum pesakit berusia 25 tahun. Angka kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2 pula tidak sebanyak jenis 1, namun didapati semakin meningkat disebabkan peningkatan masalah obesiti,” jelasnya, menambah bagaimanapun ia tidak bermakna jenis 2 lebih serius.

Ulas beliau, jenis 1 merujuk kepada keadaan autoimun, iaitu apabila badan tidak dapat menghasilkan insulin (hormon yg dikeluarkan oleh pankreas untuk mengawal kepekatan glukosa dalam darah), sementara jenis 2 bermakna badan mempunyai rintangan terhadap insulin dan pankreas tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi untuk mengatasi keadaan itu.

Sebab dan simptom

Mengenai sebab berlaku kencing manis, beliau berkata ia bergantung pada jenis diabetes.

“Diabetes jenis 1 berlaku disebabkan sistem imuniti menyerang sel beta pankreas lalu menyebabkan pankreas tidak boleh menghasilkan insulin.

Gejala-gejala diabetes. Foto Wikipedia

“Jenis 2 pula terjadi disebabkan oleh rintangan (penolakan) badan terhadap insulin,” katanya.

Akibatnya, badan akan menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi insulin yang tidak berkesan namun masih tidak mencukupi, dan dalam jangka masa panjang, ketegangan sel beta akan merosakkan dan mengurangkan penghasilan insulin.

Berdasarkan pengalamannya merawat diabetes dalam kalangan kanak-kanak, Dr Ch’ng melihat kes diabetes semakin meningkat dan membimbangkan.

Justeru katanya, ibu bapa harus mengawasi simptom yang mungkin dialami oleh anak mereka, antaranya kerap membuang air kecil, sering berasa haus, kerap minum air, mudah penat serta mengalami penurunan berat badan secara mendadak.

“Simptom ini jika tidak dirawat, pesakit boleh mendapat diabetes ketoasidosis, di mana mereka akan mengalami kesukaran bernafas, rasa keliru dan mengalami dehidrasi serius,” jelasnya.

Diabetes ketoasidosis adalah satu komplikasi serius bagi diabetes jenis 1, dan jika tidak dirawat seawalnya dengan berkesan boleh mengakibatkan kematian.

Ditanya jika diabetes jenis 1dalam kalangan kanak-kanak boleh dirawat dan tidak akan berterusan hingga dewasa, pakar itu berkata ia boleh dikawal namun hingga kini belum ada ubat penyembuh jenis 1.

Kurangkan risiko

Sehubungan itu, Dr Ch’ng berkata ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memastikan anak mereka mengambil makanan sihat dan bersenam.

“Kanak-kanak digalakkan bersenam selama 45 minit ke satu jam setiap hari dan tidak makan secara berlebihan, kerana apabila mereka mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti, ia boleh meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2.”

Menurut beliau lagi, bagi kanak-kanak yang menghidap diabetes, mereka perlu mengawal kadar gula dalam darah untuk mengelakkan komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, buta, strok, kerosakan saraf dan masalah jantung.

“Mereka juga harus hadir temu janji susulan bersama pakar endokrinologi secara berkala dan menjalani ujian saringan kesihatan mata setiap tahun,” katanya.

Berhubung dakwaan bahawa rawatan diabetes mahal, beliau berkata ia tidak semahal seperti yang disangkakan.

Penting kesan awal

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman SMVC Dr Lim Kim Piow menegaskan kepentingan bagi setiap individu mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

Menurut beliau, dalam kes diabetes, amat kritikal bagi pesakit mendapat rawatan seawal mungkin.

“Untuk mengelakkan komplikasi, masa adalah kunci utama, dan kajian telah membuktikan bahawa sekiranya rawatan untuk menurunkan gula dengan berkesan dilakukan lebih awal, ia mampu menyelamatkan nyawa.

Menanam sayur-sayuran organik adalah mudah dan tidak menelan belanja yang besar serta baik untuk kesihatan. Foto YouTube

“Dalam erti kata lain, terdapat ‘golden time’ atau jangka masa penting untuk merawat diabetes secara agresif pada peringkat awal bagi mengelakkan komplikasi berlaku,” katanya.

Diabetes juga menurut Dr Lim merupakan penyakit yang tidak bergejala, iaitu pesakit tidak akan mengalami simptom ketika paras gula dalam darah meningkat secara mendadak.

Tambahnya, pesakit hanya akan mengalami simptom osmosis ketika bacaan gula dalam darah sudah mencapai belasan seperti rasa dahaga, kerap membuang air kecil atau rasa lapar.

Namun katanya mereka yang mengalami simptom berkenaan biasanya menganggap itu perkara normal.

“Sebagai contoh, penurunan berat badan secara mendadak adalah tanda paras gula yang tinggi dan bukan disebabkan perubahan gaya hidup. Ini gejala yang sering disalah anggap sebagai penurunan berat badan yang efektif bagi pesakit obes yang sememangnya menghidap diabetes atau pradiabetes yang ingin menurunkan berat badan,” katanya.

Pemakanan dan gaya hidup

Tidak dinafikan pelbagai jenis sajian yang manis dan viral semakin mendapat tempat di hati masyarakat, khususnya golongan muda.

Mengulas mengenainya, Dr Lim tidak menolak budaya pengambilan makanan manis berlebihan mendedahkan generasi muda, terutama kanak-kanak, kepada diabetes.

“Semestinya. Ini kerana kebanyakan makanan dan minuman yang dijual dan dipromosikan di kedai makan, media sosial dan kompleks beli-belah mempunyai karbohidrat dan lemak yang tinggi serta kurang serat.

“Makanan dan minuman seperti ini tidak sihat dan tidak sesuai untuk diambil oleh mereka yang mempunyai diabetes atau pradiabetes yang kebanyakan sudahpun berada dalam keadaan obesiti,” katanya.

Selain itu, Dr Lim berkata golongan muda yang tinggal di kawasan bandar kini terdedah kepada tekanan kerja yang tinggi, kurang tidur dan kurang bersenam, yang mana turut merisikokan mereka untuk menghidap diabetes.

“Keadaan mereka boleh bertambah teruk apabila digabung dengan pengambilan alkohol, merokok dan vap yang dianggap boleh ‘mengurangkan’ stres. Ini adalah gaya kitaran hidup yang tidak sihat dan boleh membawa kepada diabetes yang boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :