Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 24 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN tunggu perkenan istana lantik MB Pahang

SHAH ALAM, 24 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) hanya menunggu perkenan pemangku Raja Pahang untuk membentuk kerajaan negeri selepas persetujuan dicapai bersama Barisan Nasional (BN).

Pengerusi HARAPAN Pahang Dato’ Seri Amirudin Shari berkata akaun bersumpah (SD) juga dihantar bagi menyokong Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar negeri itu.

“Hari ini secara asasnya kita bersetuju dan ia memerlukan masa menghadap dan perkenaan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita tawarkan ini demi kestabilan Pahang dan juga keseimbangan pentadbiran negeri dengan adanya perwakilan dari bangsa Melayu, Cina dan India,” katanya ketika ditemui di sini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor yakin gabungan HARAPAN dan BN di Pahang serasi terutama membabitkan kepentingan rakyat.

“Jika ada keserasian sudah pasti baik sebab kita juga menerima bekalan air dari Pahang bagi Loji Rawatan Air Langat 2, sudah pasti banyak perkara perlu diuruskan dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini, ia berjalan dengan baik tetapi jika lebih rapat sudah pasti lebih baik. Saya harap kerajaan Pahang dibentuk dengan kadar segera,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung selepas keputusan pilihan raya umum menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

BN memperoleh 16 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi dan HARAPAN (lapan).


Pengarang :