Pemain Malaysia Razie Rahim (kiri) diasak oleh pemain Pakistan, Junaid Manzoor pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada 2 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hoki PSAS: Skuad hoki negara tempuh laluan sukar ke final

IPOH, 3 NOV: Malaysia sekadar meraih satu mata selain menempah laluan sukar untuk mara ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2022 apabila seri 1-1 dengan Pakistan malam tadi.

Selasa lalu, skuad bimbingan A Arul Selvaraj itu tewas kepada Korea Selatan 3-0 dalam kejohanan round robin itu.

Skuad Speedy Tigers kini perlu memenangi baki tiga perlawanan untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat kedua dan bermain di perlawanan akhir.

Berada pada kedudukan ke-10 terbaik dunia, pasukan negara yang menentang pasukan nombor 18 dunia Pakistan, bermula baik apabila berada di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang Shello Silverius.

Walaupun beraksi lebih baik berbanding perlawanan sebelumnya ketika menentang pasukan nombor 12 dunia Korea Selatan, kegagalan menyempurnakan lima pukulan sudut penalti menjadi faktor penyekat kemaraan Malaysia.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang Hafizuddin Othman yang bertindak cemerlang menghalang lima pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun Hafizuddin gagal menghalang gol Pakistan pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti Arbaz Ahmad.

Pasukan negara akan berehat hari ini sebelum turun untuk perlawanan ketiga bertemu Afrika Selatan, Jumaat ini.

Sementara itu, pasukan nombor 20 dunia Mesir mengalahkan pasukan nombor 14 dunia Afrika Selatan 3-0, manakala Korea Selatan mengetepikan Jepun (ke-17) 1-0.

Selepas dua perlawanan, Korea Selatan mengungguli carta enam pasukan dengan enam mata, diikuti Mesir, Jepun dan Afrika Selatan dengan masing-masing tiga mata, manakala Pakistan dan Malaysia, masing-masing satu mata.

Dua pasukan teratas selepas melengkapkan pusingan round robin akan bertemu di final.

– BERNAMA


Pengarang :