Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program Iltizam Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 2 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Iltizam Selangor Penyayang bukti HARAPAN tidak pilih kasih, semua lapisan rakyat terima manfaat

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

HULU LANGAT, 14 NOV: Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang dilaksana Kerajaan Selangor membuktikan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak pernah pilih kasih malah menenuhi keperluan semua kaum dari segenap lapisan umur.

Calon HARAPAN Parlimen Hulu Langat berkata tekad sama akan dilaksana sekirannya gagasan itu mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum kali ini untuk kembali menerajui Putrajaya.

“Sebanyak 45 inisiatif bawah ISP bukti tiada pilih kasih dalam menyantuni rakyat. Di Selangor ini kita jaga daripada budak dalam perut sampailah budak itu umur 80 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program sembang santai Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersama jentera daerah mengundi di Bukit Mahkota di sini hari ini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berucap ketika program sembang santai Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersama jentera daerah mengundi di Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat pada 14 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sany yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Templer berkata Selangor juga sudah membuktikan kemampuannya berbelanja besar demi kesejahteraan rakyat dan tidak mustahil perkara sama boleh dilaksana di peringkat nasional.

“Kalau selangor dengan bajet RM2.3 bilion setahun kita boleh bagi macam-macam kepada rakyat, kalau lepas ini Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri dengan bajet persekutuan hampir RM400 bilion boleh atau tidak kita ‘cedok’ program ISP kita bawa ke peringkat persekutuan? Tentu boleh manfaatkan lebih (ramai) lagi,” katanya.

Sany berdepan saingan enam penjuru dengan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Dato’ Markiman Kobiran (Pejuang), Dato’ Dr Radzi Latif (PN), Dato’ Abdul Rahman Jaafar (Warisan) dan Dr Mohamed Mustafa (Bebas).

ISP disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat menerusi 44 program disediakan Kerajaan Negeri.

Terbaharu, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Insurans Am Selangor (INSAN), skim insurans percuma yang memberi perlindungan kepada enam juta rakyat dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri sekali gus menjadi program prorakyat ke-45.


Pengarang :