Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cuaca tidak menentu, negeri pantau paras air pasang

KUALA SELANGOR, 14 NOV: Paras air laut di pesisir pantai negeri ini akan terus dipantau berikutan keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bimbang Selangor menerima taburan hujan tertinggi bulan ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Cuaca masih lagi menunjukkan keadaan hujan beberapa hari ini, jadi kita kena pantau kedudukan air pasang (di pesisir pantai).

“Semalam di Kampung Asahan, Bukit Hijau dan Rantau Panjang di sini banjir, di Bukit Kuching belum. Kita berdoa supaya jangan (banjir),” katanya.

Beliau ditemui selepas makan tengah hari bersama penduduk sempena kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Parlimen Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Bukot Kuching Tengah di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapan berkata tindakan membubarkan parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 hanya menambah beban penjawat awam khususnya pegawai daerah, datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan.

“Mereka kena jadi pegawai pengurus PRU15 dengan mengurus banyak pusat mengundi dan saluran di sekolah-sekolah, tetapi pada masa sama mereka pengerusi jawatankuasa bencana daerah.

“Bagaimanapun kita sentiasa bersiap-sedia (dengan PRU15) sebab kita tidak boleh memberi kemenangan percuma kepada lawan,” katanya.


Pengarang :