EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud meninjau aktiviti yang dilakukan anak kurang upaya sempena majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) di Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam pada 27 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jabatan AnIS bantu ibu bapa kenal pasti kelebihan anak-anak istimewa

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keistimewaan anak-anak golongan tersebut.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata kelebihan atau keistimewaan anak-anak istimewa itu akan dikenal pasti oleh pakar terapi jabatan tersebut.

“Setiap anak-anak ini ada kelainan tersendiri dan mungkin tidak dapat kenal pasti keistimewaan atau kemampuan masing-masing. Oleh demikian, tugas jabatan AnIS adalah untuk membantu ibu bapa mengenal pasti keupayaan anak-anak ini.

“Pakar-pakar terapi akan duduk bersama pakar kanak-kanak untuk mengenal pasti kemampuan yang perlu mereka pelajari seperti latihan ke tandas,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Kanak-Kanak anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) di Pusat Prasekolah AnIS, Seksyen 7 di sini hari ini.

Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak itu, seramai 15 kanak-kanak AnIS menerima sijil selepas tamat menjalani program intervensi selama setahun di Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anis di IDCC di sini.

Menerusi majlis itu juga, Siti Mariah yang juga EXCO kesihatan turut menanam pokok sempena program tanam pokok teduhan dan hiasan di sekitar pusat itu.

Sebelum ini, Siti Mariah memaklumkan tahun lalu seramai 692 anak istimewa menerima bantuan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan RM1.3 juta.

Katanya, tahun ini Kerajaan Negeri akan meneruskan program Bantuan Khas Anis dan Didik Anis dengan peruntukan RM1.5 juta.


Pengarang :