Orang ramai mendapatkan keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di Surau Al-Azim pada 1 November 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah PKPS manfaatkan ribuan warga DUN Hulu Kelang di 17 lokasi

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 1 NOV: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri memanfaatkan lebih 5,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang sejak September.

Tujuh belas kali diadakan, pengurus pusat khidmat masyarakatnya berkata inisiatif itu mendapat sambutan baik dengan barangan basah, minyak dan telur menjadi pilihan ramai.

“Setakat ini, setiap lokasi menerima sambutan amat menggalakkan. Sebab itu kami bawa hampir 500 ekor ayam di setiap lokasi,” kata Mohd Helmizan Abdul Karim pada program Jelajah Ehsan Rakyat di parkir Surau Al-Azim di sini hari ini.

Beliau menambah program sama akan diadakan di Taman Keramat Permai esok dan berharap ia bakal diadakan lebih kerap berhampiran kediaman atau tempat terbuka.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bermula 6 September sehingga 6 Disember menawarkan jualan barangan asas dengan harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Produk dijual meliputi ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek) minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :