Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanatnya ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen Amirudin tarik ribuan orang, bayangan ‘tawan’ Gombak

GOMBAK, 18 NOV: Kurang 24 jam sebelum kempen pilihan raya umum ke-15 tamat, siri ceramah Dato’ Seri Amirudin Shari terus menarik ribuan orang yang membayangkan angin perubahan di Parlimen Gombak.

Ceramahnya di Pinggiran Batu Caves malam tadi dihadiri pengundi yang menyuarakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu yang berdepan penyandang tiga penggal, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Sokongan itu dizahirkan dengan laungan ‘reformasi’, ‘lawan tetap lawan’ dan ‘kita boleh’ yang sentiasa bergema.

Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bersorak apabila mendengar amanat dari pimpinan HARAPAN ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan pengundi Gombak kini sedia berubah dan tidak lagi rela diwakili pengkhianat yang bersekongkol dengan ‘pencuri’.

“Orang Gombak mempunyai maruah dan bakal membuat keputusan penting 19 November ini, tindakan mengkhianati mandat yang telah diberi tidak boleh diterima,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail mengingatkan pengundi bahawa proses membuang undi esok adalah peluang terbaik untuk menghentikan pengkhianatan dalam parti.

“Biarlah Azmin menjadi sebahagian lipatan hitam sejarah kita. Sabtu nanti, bila buka kertas undi jangan lagi ‘jeling’ nombor satu (Azmin).

“Terus undi calon nombor dua iaitu Amirudin dari HARAPAN, selepas mengundi ingatkan perkara sama kepada keluarga dan kawan,” katanya yang juga calon HARAPAN Parlimen Kulim Bandar Baharu.


Pengarang :