Calon HARAPAN Parlimen Shah Alam Azli Yusof (kanan) bersalaman dengan pencabarnya pada hari pengundi awal di Ibu Pejabat Polis Selangor pada 15 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

Kempen calon HARAPAN Shah Alam dapat sambutan hangat

SHAH ALAM, 15 NOV: Kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) calon Parlimen Shah Alam mendapat sambutan hangat sepanjang 10 hari lalu.

Azli Yusof berkata kebanyakan penduduk kawasan itu menyatakan sokongan penuh terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Alhamdulillah ketika saya berkunjung ke surau, masjid, interaksi dengan anak muda termasuk walkabout di kedai makan, pasar malam, pasar tani dan ceramah kira-kira 70 ke 80 peratus sokong HARAPAN.

“Insya-Allah dengan sokongan warga Shah Alam dan kerja keras berterusan jentera kita yakin kemenangan berpihak pada HARAPAN PRU15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan enam tawaran utama gabungan itu di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Shah Alam, Seksyen 13 di sini hari ini.

Azli yang juga timbalan pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru penduduk Shah Alam melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 19 November ini.

“Justeru, saya menyeru kepada pengundi untuk keluar mengundi beramai-ramai Sabtu ini. Kemenangan HARAPAN di P108 membawa besar ertinya kerana ia menyumbang kerusi untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Berikan tempoh satu penggal kepada HARAPAN untuk buktikan kemampuan uruskan negara,” katanya.


Pengarang :