Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Pengenalan Calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 2 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerjasama MUDA perkukuh HARAPAN, raih sokongan anak muda

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerjasama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mampu memperkukuh Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya mengalu-alukan kesepakatan parti itu terutama dalam meraih sokongan dan undi anak muda negeri ini.

“MUDA jadi sebahagian daripada pengukuh kita di Selangor (selain) menambah nilai dan memberikan impak kepada sokongan belia serta generasi muda di Selangor.

“Dengan pencapaian dan rekod kita di Selangor, saya percaya ia akan memberi kelebihan kepada HARAPAN untuk memenangi kerusi di samping usaha kita merampas kerusi yang telah dimenangi BN (Barisan Nasional) dalam PRU lalu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengenalan 22 calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini malam tadi.

MUDA akan bertanding di tiga kerusi Parlimen membabitkan Selangor, Pulau Pinang dan Johor pada PRU kali ini.

Tiga calon itu adalah Siti Rahayu Baharin yang akan bertanding di Parlimen Tanjong Karang, Daniel Abdul Majid (Kepala Batas) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai).

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya MUDA Amira Aisya Abd Aziz mengumumkan parti itu juga akan menggunakan logo sendiri serta berkongsi manifesto dengan HARAPAN.

Penyokong HARAPAN Selangor melaungkan slogan ‘Kita Boleh’ ketika Majlis Pengenalan Calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 2 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :