Keadaan banjir di daerah Teliuk Intan. Foto Facebook Balai Bomba Teluk Intan
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir tetap semangat mahu buang undi walau rumah dinaik air

SHAH ALAM, 18 NOV: Penduduk Teluk Intan, Perak tetap bersemangat mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) esok, biarpun rumah mereka dilanda banjir.

Seorang mangsa, Nur Affadila Abdul Mukti, 34, memberitahu beliau bersama ahli keluarga akan tetap keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, lapor Sinar Harian.

“Tengoklah esok (Sabtu). Ada yang tolong hantar kami ke pusat pengundian. Emak saya pun mungkin akan dibawa mengundi menggunakan kerusi roda,” katanya yang tinggal di Batu 8, Changkat Jong.

Sementara itu, Muhammad Zairul Iman Saiful Bahri,19, pula berkata sejak kecil kejadian banjir akan berlaku di kawasan tersebut setiap kali musim tengkujuh pada akhir tahun.

“Saya baru balik dari Kedah sebab bercuti mengundi. Kami harap pihak berwajib dapat turun padang dan tengok-tengok kawasan yang terjejas.

“Biasanya air akan surut dalam dua ke tiga hari. Kadang ban pecah dan akibatkan air naik sehingga ke dalam rumah kami,” katanya yang merupakan pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di Kulim.

Awal pagi Jumaat lalu, bomba memindahkan mangsa banjir di beberapa kawasan dinaiki air di Batu 10, Jalan Bidor.

Komander Operasi, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.30 pagi yang memaklumkan kawasan di Changkat Jong dinaiki air.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa rumah kampung ditenggelami air sehingga ke paras lutut orang dewasa di kawasan berkenaan.

Air parit di hadapan Klinik Desa Changkat Jong juga melimpah sehingga memasuki sedikit kawasan berhampiran.


Pengarang :