Borhan Aman Shah (dua, kiri) menyaksikan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Mohamad (tengah) menyediakan Nasi Ambeng sambil dibantu Chef Suwarsi M Arukin (dua, kanan) dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Martabat identiti negeri, dana RM1.5 juta laksana program kebudayaan dan kesenian

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 25 NOV: Selangor akan menganjurkan beberapa program kesenian dan kebudayaan untuk memartabatkan identiti negeri ini pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata untuk tujuan itu, sebanyak RM1.5 juta disediakan bagi penganjuran beberapa program utama peringkat negeri.

“Program akan dianjurkan antaranya pertandingan keroncong antarabangsa, pesta nasi ambeng dan Konsert Rentak Selangor yang menampilkan artis budaya dan selebriti anak Selangor dalam suasana meraikan kepelbagaian yang membentuk keperibadian negeri ini.

“Ia akan dianjurkan dengan kerjasama badan bukan kerajaan penggiat seni dan budaya negeri Selangor,” katanya dalam pembentangan belanjawan 2023 hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata industri hiburan merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan hasil cukai negeri melalui kutipan duti hiburan.

“Atas kesedaran beberapa cabaran yang dihadapi pemain industri hiburan seperti pertunjukan pentas (bertiket) artis tempatan, ‘live band’ (tidak bertiket) serta aktiviti ‘busking’, pengecualian duti hiburan yang diberikan pada tahun ini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun depan.

“Permasalahan dihadapi penganjur dan pengusaha aktiviti hiburan bertiket yang perlu menjelaskan bayaran deposit iaitu bayaran penuh duti hiburan sebelum memperolehi lesen atau permit dari pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun tiket belum terjual sepenuhnya turut diambil maklum.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju mengurangkan kadar deposit kepada 20 peratus dari bayaran deposit asal sebagai usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memberikan kemudahan dalam menjalankan perniagaan kepada pengusaha atau penganjur,” katanya.

Kerajaan Negeri turut berhasrat membangunkan sistem dalam talian membabitkan urusan duti hiburan, lesen dan permit tempat hiburan bersifat ‘one stop center’ yang akan melibatkan usahasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan semua 12 PBT di Selangor.


Pengarang :