Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dana RM65.6 juta laksana pelbagai program kesihatan

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 25 NOV: Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk sejumlah RM 65.6 juta bagi  meneruskan pelbagai program berkaitan kesihatan awam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai contoh program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dengan peruntukan tahunan berjumlah RM45 juta memanfaatkan 100,000 pemegang polisi utama dan kira-kira 150,000 ahli keluarga berdaftar.

“Setiap pemegang polisi ISS layak mendapatkan rawatan asas dan vaksinasi berjumlah RM500 setahun bagi kategori keluarga dan RM250 setahun bagi kategori individu di mana-mana klinik panel di seluruh negeri.

“Pemegang polisi ISS juga menerima manfaat perlindungan takaful termasuk manfaat kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan sebanyak RM5,000, penyakit kritikal (RM5,000), manfaat kematian semula jadi (RM5,000) dan khairat kematian (RM1,000).

“Untuk ahli keluarga berdaftar di bawah ISS, tiga manfaat akan diberikan iaitu manfaat kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan sebanyak RM2,000, manfaat penyakit kritikal (RM2,000) dan khairat kematian sebanyak RM1,000,” katanya dalam pembentangan belanjawan 2023 hari ini.

Beliau berkata program kesihatan lain  yang diteruskan serta ditambah baik ialah Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor, Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam, Selangor Saring, Selangor Kanser, Selangor Mental Sihat, Program Anak Selangor Anak Sihat dan kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita percuma.


Pengarang :