Lebih 1,000 pemimpin hadir dalam majlis Amanat Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 3 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Elaun pemimpin masyarakat naik langkaui gaji minimum tahun depan

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Selangor akan menaikkan elaun pemimpin komuniti tahun depan, sekurang-kurangnya melepasi kadar gaji minimum.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan perkara itu di hadapan lebih 1,000 pemimpin masyarakat sempena majlis amanat bersama mereka di Dewan Raja Muda Musa di sini.

“Insya-Allah tahun depan kita akan pastikan peningkatan yang baik termasuk memastikan elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ketua Komuniti India (KKI) sama. Paling kurang melepasi elaun gaji minimum,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari disambut sorakkan gemuruh pemimpin komuniti.

“Mesej saya jelas, tolong kerja setiap masa sebagai satu pasukan kerana kita Selangor adalah (milik) Pakatan Harapan (HARAPAN).”

Kerajaan menguatkuasa pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sejak 1 Mei selepas dikaji secara mendalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Amanat Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 3 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

 

Amirudin mengulangi Kerajaan Negeri memberi wang tunai RM3,600 setahun bagi membantu keluarga susah melalui Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

“Dahulu Kiss (Kasih Ibu Smart Selangor) kita beri RM200 (sebulan), sekarang RM300. Jadi tidak betul kalau yang kata kita turunkan (jumlah).

“Cuma kita susun balik kerana kita tahu fokusnya adalah untuk bantu selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau menambah warga emas berusia 60 tahun ke atas juga menerima baucar beli-belah RM100 setiap tahun semasa hayat selain khairat kematian RM500.

Semalam, Amirudin berkata dasar dan polisi Selangor akan diamal HARAPAN jika gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Inisiatif meliputi Skim Mesra Usia Emas, Rumah Idaman, Rumah Selangorku Harapan, Skim Insurans Am Selangor (Insan).

 


Pengarang :