Calon Pakatan Harpaan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Melawati pada 6 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB jamin kebajikan rakyat, tekad pulihkan maruah Gombak (VIDEO)

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari bertekad memastikan kebajikan rakyat dan kemajuan di Gombak terus terjamin bawah pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam keratan video yang dikongsi di Twitter, calon bagi Parlimen Gombak itu turut berazam untuk memastikan kawasan ditandingi kekal bermaruah dan bermartabat.

“Saya menawarkan khidmat bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin, kesejahteraan dan kemajuan Gombak terus berkembang baik. Saya beriltizam memastikan Gombak kekal bermaruah dan bermartabat.

“Saya mengharapkan sokongan dan dukungan dari anda, sebagai seorang yang tidak asing di Gombak terutama kawasan Sungai Tua yang dahulunya dikenali sebagai Batu Caves sejak 2008,” katanya.

Calon Pakatan Harpaan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto bersama sebahagian pengunjung pasar malam Taman Seri Gombak pada 7 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI

Dato’ Menteri Besar menambah pasukannya menunjukkan rekod perkhidmatan baik dan prihatin kepada rakyat, proaktif selain menampilkan kepimpinan muda yang segar dan berwawasan.

“Saya berdoa HARAPAN beroleh kemenangan di Gombak dalam pilihan raya kali ini. Bersama kita menuju ke arah Gombak yang lebih baik dengan HARAPAN. Gombak Bermaruah, Kita Boleh,” katanya lagi.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Beliau mencabar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menang atas tiket KEADILAN, tetapi mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :