AGENDAJENAYAH

Dua lelaki samun kedai serbaneka ditahan polis di Petaling Jaya

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki menyamun secara berkumpulan sebuah kedai serbaneka di Taman Maju Jaya, Petaling Jaya menggunakan tukul besi, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.28 pagi.

Beliau berkata dalam kejadian itu, suspek yang memakai pelitup muka masuk ke dalam premis berkenaan dengan memakai topi keledar serta menunjukkan tukul ke arah pengadu yang bekerja sebagai juruwang di situ bertujuan untuk mengugut.

Katanya suspek melarikan wang tunai RM560 serta 49 kotak rokok pelbagai jenama.

Bagaimanapun, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menahan kedua-dua suspek berusia 30-an pada hari sama di tepi jalan di Kampung Lindungan, Petaling Jaya dan merampas barang kes dipercayai hasil samun,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan.

– BERNAMA


Pengarang :