Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa menziarah Mat Zuki Husin, 67, yang menghidap sakit angin ahmar pada program Ziarah Kasih di Kampung Nakhoda, Gombak pada 1 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB santuni warga emas, penerima syukur terima bantuan

GOMBAK, 1 NOV: Seramai enam warga emas termasuk seorang waris di sekitar Gombak menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas daripada Kerajaan Negeri.

Sumbangan disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi meringankan beban penerima yang rata-ratanya sudah uzur menerusi program ziarah kasih.

Amirudin ketika beramah mesra turut menasihati penerima dan keluarga supaya memohon Skim Insurans Am Selangor (INSAN) disediakan Kerajaan Negeri demi menjaga kebajikan mereka pada masa depan.

“Hari ini saya bertemu beberapa sahabat lama saya yang juga penduduk di kawasan Gombak…mereka ada yang sudah keuzuran dan ada juga kehilangan suami beberapa bulan lepas.

“Oleh itu, kita mengambil peluang untuk santuni dan memberi kata-kata semangat kepada mereka. Semoga sedikit sumbangan diberi meringankan beban penerima,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang penerima bantuan Norhayati Muhamad, 53, bersyukur dengan bantuan itu dan berhasrat mahu membeli kerusi roda buat suaminya (Mat Zuki Husin, 67) yang menghidap angin ahmar sejak tujuh tahun lalu.

“Alhamdulillah syukur sangat dapat bantuan ini. Saya bercadang mahu beli kerusi roda untuk suami supaya memudahkan pergerakannya.

“Terima kasih Dato’ Menteri Besar (Amirudin) kami juga amat terharu menerima kunjungannya hari ini,” katanya.

Puteri Rahmi Ruwaida Khairul Anuar, 40, turut memuji keprihatinan pemimpin itu yang kerap menziarahi ibunya Raja Noraini Raja Mohamed, 64, yang menghidap angin ahmar.

“Terima kasih kerana masih ingat ibu saya. Insya-Allah bantuan ini kami akan gunakan untuk membeli keperluan ibu seperti ubat-ubatan dan makanan,” katanya.


Pengarang :