Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penerima baucar pada program Jom Shopping Deepavali DUN Sungai Tua di Sri Ternak, Gombak pada 16 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Nilai baucar beli-belah naik RM200, had pendapatan isi rumah RM3,000

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 25 NOV: Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 sebulan kepada RM3,000 sebulan mulai tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prihatin dengan situasi ekonomi dan keperluan rakyat, nilai baucar beli-belah juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200.

“Sebanyak RM16.48 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2023 untuk program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

“Program ini merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Keluarga kurang mampu diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan.

“Pada tahun ini, sebanyak RM7.3 juta diperuntukkan untuk program ini dan sebanyak RM7.08 juta dibelanjakan oleh 70,995 penerima,” katanya dalam pembentangan belanjawan 2023 hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan sejumlah RM1 juta diperuntuk di bawah program Baucar Halal Selangor untuk meningkatkan nilai dagangan industri halal domestik.

“Baucar akan diedarkan ke seluruh negeri mengikut DUN untuk menggalakkan rakyat berbelanja di cawangan halal seluruh negeri Selangor dan menjadi pemangkin kepada industri halal domestik,” katanya.


Pengarang :