Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Shah Alam Azli Yusof melawat mangsa kemalangan jalan raya menerusi program Ziarah Prihatin di Pangsapuri PKNS Seksyen 19, Shah Alam pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk hargai calon HARAPAN Shah Alam ziarah mangsa nahas jalan raya

SHAH ALAM, 10 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam menziarahi mangsa kemalangan jalan raya, seorang pemuda dan warga emas di sekitar Seksyen 19 di sini hari ini.

Menerusi program Ziarah Kasih di Pangsapuri Komuter Raya dan Pangsapuri PKNS, Azli Yusof turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas selain bertanya khabar.

Rata-rata penduduk menyambut baik kehadiran calon muka baharu itu yang pernah menyandang jawatan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Mahu dikenali sebagai Suraya, 27, isteri kepada pemuda tersebut, Muhammad Amirul Asyraf Jaafar Sidek, 30, berterima kasih kepada Azli kerana sudi menziarahi mereka sekeluarga.

Berkongsi penderitaan dialaminya, beliau tabah meski baharu sahaja 10 hari melahirkan anak kelimanya dua hari selepas suaminya terlibat dalam kemalangan motosikal.

“Alhamdulillah ada juga yang sudi menziarahi kami, saya amat hargai kehadiran calon HARAPAN hari ini…belum ada mana-mana calon datang bagi bantuan, terima kasih,” katanya.

Program Ziarah Kasih itu adalah salah satu daripada 14 program yang disusun sepanjang kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Azli menjelaskan, beliau bukan baharu pertama kali turun padang berjumpa masyarakat sebaliknya aktiviti itu sudah lazim dilakukan sejak menjadi ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam sebelum ini.

“Ramai sudah kenali saya dan ini lebih memudahkan saya untuk berkempen cuma kali ini perlu lebih kerap turun padang jumpa masyarakat terutama mereka yang terlantar supaya (mereka) kenal calon HARAPAN,” katanya.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor satu dalam kertas undi berdepan tiga lagi pencabar.

Beliau mencabar Dr Afif Bahardin (Perikatan Nasional), Isham Jalil (Barisan Nasional) dan Rafique Rashid (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pengarang :