Pengundi Gombak menunaikan kewajiban sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Klang Gate, Kuala Lumpur pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis terima 3,417 laporan babit kesalahan PRU15 di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sebanyak 3,417 laporan diterima polis sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula dari 4 November hingga pasca pilihan raya semalam.

Daripada jumlah itu, Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata Kedah mencatatkan jumlah laporan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 447, diikuti 433 laporan masing-masing di Selangor dan Pahang, Kelantan (429); Perak (334) serta Johor (299).

Menurutnya, sebanyak 228 laporan diterima di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (218); Perlis (210); Sabah (116); Sarawak (87); Pulau Pinang (83); Terengganu (61) dan Melaka (39).

“Sebanyak 508 kertas siasatan telah dibuka, 149 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, enam telah dituduh dan empat individu dijatuhi hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hazani yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata semalam, tujuh kertas siasatan telah dibuka dan satu tangkapan telah dibuat di Kedah melibatkan enam lelaki bersabit kertas siasatan bertarikh 19 November.

“Enam individu tersebut terdiri daripada 300 penyokong beberapa parti yang didapati berkumpul dan mengibarkan bendera parti di Dataran Zero, Pekan Lama di Sungai Petani pada pukul 2.15 pagi iaitu selepas waktu berkempen tamat.

“Tangkapan tersebut dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :