Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 6 Mei 2021. FotoBERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga wanita terlibat pemerdagangan manusia diserah kepada polis Thailand

PETALING JAYA, 7 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyerahkan tiga wanita warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia ke negara ini kepada Polis Diraja Thailand (RTP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 30-an dan berada dalam senarai dikehendaki RTP, ditahan pada 29 Okt lepas bersama dua lelaki warga Indonesia selepas PDRM menerima maklumat daripada RTP.

“Dua lelaki Indonesia itu dipercayai tidak terlibat secara langsung dalam sindiket itu tetapi hanya bekerja dengan mereka di negara ini. Selain kelima-lima mereka, buat masa ini kita percaya tiada suspek lain terlibat.

“Susulan serbuan yang dilakukan, empat wanita (dua warga Thailand dan dua Indonesia) berjaya diselamatkan dan ditempatkan di pusat perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara (IPO),” katanya pada sidang media di balai pelepasan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Pangkalan Semenanjung, Subang di sini hari ini.

Acryl Sani berkata tiga wanita berkenaan dihantar pulang mengikut Akta Imigresen 1959/63 memandangkan pasport mereka telah dibatalkan oleh pihak berkuasa Thailand.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Thailand Jeneral Surachate Hakparn yang turut hadir pada sidang media berkenaan berterima kasih kepada PDRM atas kerjasama melumpuhkan jenayah rentas sempadan terutama sindiket pemerdagangan manusia.

“Hubungan rapat antara kami (PDRM dan RTP) membawa kepada kejayaan ini. Kami akan terus bekerjasama bagi membendung jenayah rentas sempadan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

-BERNAMA


Pengarang :