AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat di KL, beberapa daerah di Selangor hingga 7 malam

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 16 DIS: Tujuh daerah di Selangor, seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya diramal ribut petir, hujan lebat serta angin kencang hingga 7 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan daerah terbabit ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

Cuaca sama diramal melanda Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Kampar dan Batang Padang), Kelantan (Gua Musang) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).

Turut dijangka hujan lebat ialah Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Jempol), Johor (Segamat, Kluang dan Mersing) serta beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.

Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :