ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan (kanan) menyerahkan baucar dan bantuan sempena Tahun Baharu Cina kepada penduduk pada 22 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Pandamaran buka 400 slot mohon baucar Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 28 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran membuka 400 slot kekosongan bagi baucar beli-belah sempena Tahun Baharu Cina.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata permohonan boleh dibuat mulai semalam di pusat khidmat masyarakat DUN Pandamaran, Klang.

“Setiap keluarga hanya boleh memohon sekali sahaja dan pemohon diminta membawa dokumen lengkap bagi memastikan proses kelulusan itu berjalan lancar.

“Permohonan berakhir 6 Januari ini dan baucar akan diserahkan secara fizikal di pasaraya Giant Bukit Tinggi, Klang. Kita akan maklumkan kemudian tarikh baucar itu diagih,” katanya ketika dihubungi.

Antara syarat permohonan, pemohon mesti berpendapatan bawah RM2,000 sebulan dan perlu menyertakan slip gaji atau salinan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP).

Pemohon juga perlu lampirkan salinan kad pengenalan (suami dan isteri) manakala bagi mereka yang sudah tiada pasangan perlu sertakan surat pengesahan kematian atau sijil perceraian.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan sempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :