EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat gerai pameran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pavillion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Industri agropelancongan semakin penting, buka peluang ekonomi

SHAH ALAM, 2 DIS : Selangor bakal memfokuskan industri agropelancongan tahun hadapan berikutan impaknya yang besar kepada ekonomi negeri.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata ketika ini beberapa lokasi agropelancongan berskala kecil dilihat dapat menarik minat ramai pengunjung.

“(Contoh) Di Sungai Ramal, Kajang. Ada kebun buah tin dan tanaman anggur seluas tiga ekar yang dibuat secara moden. Tempat ini kecil malah tak ada cadangan untuk bangunkan.

“Tetapi ramai yang datang. Tak perlu buat promosi kerana tanaman buah tin ini sudah menarik kehadiran orang ramai. Buah dijual mencecah RM700 sekilogram. Jadi kita ambil perhatian kepada kawasan agropelancongan serta akan tingkatkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Minggu lalu, ketika membentang belanjawan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk program agropelancongan.

Kerajaan negeri turut menyalur RM1.2 juta untuk melaksana pertanian bernilai tinggi, konsep pertanian Revolusi 4.0 (RM2 juta), melonjakkan potensi usahawan tani belia (RM3 juta) dan mempergiat pemasaran produk pertanian (RM1.2 juta).


Pengarang :