EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau bergambar bersama penerima motosikal ketika majlis perasmian program Bikecare-1000 anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri bantu 100 pekerja p-hailing miliki motor melalui Bike Care-1,000

SHAH ALAM, 24 DIS: Seramai 100 individu diberi subsidi membeli motosikal daripada Kerajaan Negeri menerusi program Bantuan Bike Care-1,000.

EXCO Kebajikan Masyarakat berkata inisiatif itu ditumpukan kepada individu yang mahu atau sedang berkhidmat dalam sektor pekerja gig (p-hailing).

“Kerajaan Negeri akan membantu mereka dengan subsidi bayaran pendahuluan, insurans dan pemprosesan pinjaman dengan jumlah bantuan RM1,000 setiap pembelian motosikal.

“Selain itu, pekerja p-hailing yang memerlukan bantuan untuk menukar kenderaan lama mereka kerana sudah rosak atau lusuh turut dibantu menerusi program ini,” kata V Ganabatirau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan program Bike Care-1,000 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurutnya lebih 340 permohonan diterima bagi program itu tetapi pihaknya perlu menapis supaya individu yang menepati syarat saja layak menerimanya.

“Sektor ini juga menjadi tempat teduhan kepada graduan, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesara dan individu yang menyara keluarga dalam kalangan B40. Justeru, kita perlu memilih individu yang benar-benar susah.

“Kita harap inisiatif ini dapat beri manfaat dan dapat menampung kehidupan mereka melalui pendapatan p-hailing sebaiknya, kita akan berusaha untuk jadikan program Bike Care 1,000 sebagai program tahunan,” katanya.


Pengarang :