Suasana di kaunter pendaftaran Hospital Putrajaya. Foto portal Hospital Putrajaya
AGENDANASIONAL

KKM perluas sistem janji temu dalam MySejahtera di semua kemudahan kesihatan

SHAH ALAM, 28 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluas sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di semua fasiliti kesihatan primer bermula hari ini.

Menteri kesihatan berkata sistem dalam talian itu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan sekali gus mengelak masa menunggu terlalu lama dan mengelak kesesakan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Foto Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

“Perkhidmatan ini dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa bermula dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan Peka B40 dan khidmat berhenti merokok.

“Perkhidmatan ini akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat termasuk rawatan pesakit luar, pemeriksaan kesihatan pra-pekerjaan dan pra-pengajian, saringan pra-perkahwinan, perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur seperti rawatan luka serta penukaran tiub,” kata Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan.

Beliau berkata melalui sistem itu, pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan mengikut kesesuaian masa selain mengubah tarikh janji temu dengan mudah tanpa membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.

Tambahnya sistem itu mempunyai fungsi peringatan automatik yang memberi peringatan kepada pengguna untuk hadir mengikut masa dan tarikh ditempah.

“Bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat janji temu.

“Kita berharap dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan ini, program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer dapat dihebahkan kepada orang awam dan menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,” katanya.


Pengarang :