Jalur Gemilang berkibar megah di hadapan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Menteri kerajaan perpaduan mula bertugas, hadiri mesyuarat khas esok

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kabinet kerajaan perpaduan akan memulakan tugas secara rasmi dengan menghadiri mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Selain menghadiri mesyuarat khas yang menetapkan peraturan baharu, dua timbalan perdana menteri dan beberapa jemaah menteri dijadual mengimbas kad perakam waktu (clock-in) di kementerian masing-masing, sebagai simbolik permulaan tugas rasmi mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka mengadakan sesi clock-in, pada sekitar 8 pagi dan akan menghadiri majlis sambutan selamat datang sebagai menteri selepas mesyuarat khas itu pada 10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan mengimbas kad perakam waktu tugas menteri pada 8.30 pagi di bangunan kementerian itu dan dijangka clock-in di Pejabat Perdana Menteri pada 12 tengah hari.

Bagi barisan menteri pula, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika dihubungi Bernama mengesahkan beliau akan mengimbas kad perakam waktu pada 8.30 pagi, disusuli sesi taklimat di kementerian berkenaan sebelum menghadiri mesyuarat khas itu.

Turut mengadakan sesi merakam waktu tugas sebagai menteri bagi hari pertama pada 8.30 pagi, ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang; dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sementara itu, Menteri Agama Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan merakam detik simbolik memulakan tugasnya secara rasmi pada 9 pagi serta mengadakan majlis bacaan Yasin di kementerian itu sebelum menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Menteri Komunikasi Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula dijadual mengadakan sesi mengimbas kad perakam waktu dan penyerahan nota serah tugas pada 11 pagi, diikuti sidang media selepas sesi taklimat kementerian itu pada 12.30 tengah hari.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu akan menghadiri majlis perjumpaan bersama pengurusan tertinggi kementerian berkenaan dan mengadakan sesi clock-in, yang dijadual bermula pada 1.30 tengah hari.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan pula dijadual hadir ke majlis sambutan serta memulakan tugas sebagai menteri di Foyer Wisma Pertahanan di sini, pada 2.30 petang.

Ketika dihubungi Bernama, beberapa menteri memaklumkan akan memulakan tugas rasmi selepas selesai mesyuarat khas Kabinet iaitu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dijadual mengadakan sesi clock-in pada 3 petang di Kementerian Kerja Raya, di sini.

Selain itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata mereka akan memulakan tugas rasmi di kementerian masing-masing, usai mesyuarat khas itu.

Semalam, dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini. – BERNAMA

 


Pengarang :