Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menyerahkan Simbolik Penyerahan cek cura Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 kepada Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob ketika kunjungan hormat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Kota Baharu pada 27 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Misi pascabah: Serve, Pantas digerakkan ke Pantai Timur pada Januari

KOTA BHARU, 27 DIS: Kerajaan Negeri dijangka menggerakkan Sukarelawan Selangor (Serve) dan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) bagi misi bantuan kemanusiaan pascabah di Kelantan serta Terengganu pada Januari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sedang menyelaras misi itu bersama kepimpinan di kedua-dua negeri terbabit supaya kerja pembersihan di kawasan terjejas berjalan lancar.

“Semalam, unit pengurusan bencana negeri bertemu dengan pengurusan dua negeri terbabit. Kita akan lihat penyelarasan pasukan (Serve dan Pantas) untuk membantu proses pembersihan awam khususnya apabila banjir yang hampir 80 hingga 90 peratus surut.

“Jadi kalau adapun (misi bantuan pascabah), pada Januari bersama pasukan dan badan bukan kerajaan (NGO) di kedua-dua negeri. Kita mahu ia teratur, tiada pertindihan selain beri kesan yang baik,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan simbolik penyerahan cek cura sumbangan banjir #KitaSelangor 2022 kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika kunjungan hormat di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Baharu pada 27 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menyerahkan cek cura bantuan banjir #KitaSelangor bernilai RM500,000 kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di kediaman rasmi pemimpin negeri itu di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman.

Amirudin berkata pihaknya juga akan menurunkan seramai mungkin keanggotaan Serve dan Pantas kerana membabitkan dua negeri.

“Kita akan pecahkan dua (pasukan). Jadi kita sedang aturkan, dalam masa sehari dua hari lagi kita siapkan pasukan,” katanya.

Pada 20 Disember lalu, Amirudin berkata kerajaan negeri melalui Skuad Pantas serta Serve bersedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir sebaik sahaja keadaan mengizinkan kelak.


Pengarang :