Pasukan MPKj FC ketika menentang Bandar Putera 2 pada perlawanan Liga Juara Selangor 2022 (SCL 2022) di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 10 Disember 2022. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

MPKj FC ungguli Liga Juara Selangor, mara ke Liga Super

SHAH ALAM, 12 DIS: MPKj FC muncul johan Liga Juara Selangor 2022 (SCL 2022) selepas meraih kemenangan besar 3-0 ke atas Bandar Putera 2.

Gol perlawanan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Sabtu lalu dihasilkan M Terence Marieselvam dengan dua jaringan manakala M Dnesh (satu).

Kemenangan itu menyaksikan MPKj FC membawa pulang trofi yang disampaikan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dengan status julung kali juara SCL 2022.

Jurulatihnya Mohd Razif Mohamed Rus berkata beliau berbangga dapat membimbing pasukan itu sehingga layak ke saingan Liga Super musim akan datang.

“Kami sudah empat kali bersaing di peringkat separuh akhir dan akhir SCL, tetapi tidak pernah ada rezeki untuk menang.

“Jadi, saya harap MPKj akan meneruskan aksi terbaik di Liga Super dan seterusnya menjuarai liga tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, ayam tambatan MPKj, Firdaus Musa dinobatkan sebagai pemain paling bernilai selain menerima anugerah Kasut Emas pada SCL 2022.

Anak kelahiran Johor yang beraksi bersama pasukan itu selama setahun menjaringkan lapan gol sepanjang musim SCL kali ini.

“Saya tujukan kemenangan itu khusus untuk isteri saya Wan Izyan Inanie Wan Izani yang banyak memberikan sokongan dan dorongan.

“Saya juga berharap dapat meneruskan aksi terbaik dalam Liga Super akan datang,” katanya.


Pengarang :