Murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam Seksyen 16 beratur sebelum masuk ke dalam kelas ketika tinjauan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2022/2023 pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri sedia peruntukan bantu pelajar lengkapkan keperluan sekolah

GOMBAK, 13 DIS: Sejumlah dana diperuntuk tahun depan bagi membantu pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah melengkapkan keperluan sekolah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tahunan sempena pembukaan sesi persekolahan sedang dibuat bagi memastikan keluarga berkelayakan mendapat manfaatnya.

“Kita sedang teliti kos program Kembali ke Sekolah yang dijangka dibuat pada Februari. Setiap tahun memang Kerajaan Negeri sediakan dana untuk inisiatif ini.

“Dalam masa sama Yayasan Warisan Anak Selangor turut laksana Program Bantuan Masuk Sekolah kepada ahlinya. Kita akan koordinasi program ini untuk bantu lebih ramai pelajar,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kejadian tanah runtah melibatkan halaman rumah penduduk Kampung Sungai Pusu, Abdul Malik Mohd Hashim di sini semalam.

Anak syarikat Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menjayakan program sama bagi meringankan beban belanja ibu bapa serta penjaga.

Menerusi insentif itu, MBI memperuntuk RM30,000 untuk setiap Dewan Undangan Negeri bagi mengagihkan baucar berjumlah RM100 kepada 300 murid sekolah rendah.


Pengarang :