Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika tinjauan tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar
AGENDABERITA UTAMA

PM: Sumbangan RM10,000 untuk waris korban, RM1,000 buat mangsa tanah runtuh

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

SHAH ALAM, 16 DIS – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

Sebanyak RM1,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) pula dihulur kepada ketua isi rumah mangsa tragedi sama yang tidak melibatkan kes kematian.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menyalur peruntukan kepada Kerajaan Negeri untuk diagih kepada mangsa.

“Kita serahkan kepada Dato’ Menteri Besar dan arahkan bantuan dilakukan segera,” katanya pada sidang media ketika meninjau lokasi berkenaan malam ini. Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas melakukan tinjauan kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Disember 2022. Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar

Perdana menteri turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa dan keluarga yang ahli mereka kehilangan nyawa.

“Ini tragedi untuk kita, saya sedih dan dukacita terhadap tragedi ini termasuk kehilangan anak kecil, ibu,” katanya.

Anwar juga menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada anggota pasukan mencari dan menyelamat yang bekerja keras selain berdepan risiko besar.

“Memohon doa dari semua agar operasi mencari dan menyelamat dipermudah dan nasib keluarga yang terlibat dapat dibela sebaiknya,” kata beliau.


Pengarang :