Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (kanan) menerima trofi Anugerah Sektor Awam untuk Kempen Promosi Pelancongan Domestik oleh wakil Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia pada 9 Disember 2022. Foto Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Program pelancongan negeri diiktiraf, Tourism Selangor rangkul dua anugerah prestij

SHAH ALAM, 17 DIS: Tourism Selangor berjaya merangkul dua anugerah berprestij atas inisiatif promosi pelancongan yang dinamik dan aktif.

Agensi itu memperoleh anugerah penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam sektor pelancongan dan anugerah sektor awam untuk promosi pelancongan domestik oleh Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pencapaian itu didorong promosi pelancongan “Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu!” dan “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!”.

“Dengan promosi pelancongan yang dinamik dan aktif ini, Selangor diumumkan sebagai destinasi pelancongan domestik pertama bagi 2021 dengan lebih 10.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini.

“Kemasukan (lebih 10.2 juta) pelancong merupakan salah satu kekuatan utama yang dinilai bagi anugerah tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau mengakui bukan mudah membangunkan sektor pelancongan sepanjang pandemik Covid-19, namun pemain industri membuktikan keupayaan menarik pelancong dalam dan luar negara.

Tambahnya, ia turut dibantu pelbagai bentuk bantuan diberikan Kerajaan Negeri melalui Pakej Kita Selangor.

Industri pelancongan memainkan peranan penting di Selangor terutama dalam membentuk ekonomi tempatan di negeri ini.


Pengarang :