Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan. Foto Facebook POLIS DAERAH SERDANG
AGENDA JENAYAH

Sindiket curi kenderaan Geng Harrier putih lumpuh

SERDANG, 30 DIS: Taktik empat lelaki yang menjadi penjual buah dengan bergerak sekitar Lembah Klang untuk memantau keadaan sebelum mencuri kenderaan akhirnya terbongkar, selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata keempat-empat suspek berusia antara 41 dan 59 tahun, yang dikenali sebagai Geng Harrier Putih itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian curi kenderaan di tepi jalan Bandar Kinrara 3/1, Puchong, Selangor, pada hari sama tangkapan dibuat.

“Siasatan mendapati kesemua suspek berselindung sebalik pekerjaan mereka iaitu menjual buah menggunakan kenderaan seperti kereta dan van sekitar Lembah Klang untuk mencuri kenderaan yang diparkir di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan perumahan.

“Geng ini akan menggunakan kereta jenis Harrier berwarna putih milik seorang daripada suspek untuk melakukan aktiviti curi kenderaan pada waktu pagi dengan menyasarkan pelbagai jenis kereta mengikut permintaan pembeli yang dipercayai dalam kalangan pemilik bengkel kenderaan di luar kawasan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

Siasatan lanjut mendapati setiap suspek memperoleh RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kereta yang berjaya dicuri.

Anbalagan berkata hasil semakan kesemua suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes curi kenderaan yang direkodkan pada tahun ini di Serdang, Kajang, Brickfields, Cheras dan Subang Jaya dan tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan dadah.

“Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki dalang dalam kes tersebut, dipercayai turut mempunyai kaitan keluarga dengan seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.

Kesemua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada Rabu lepas, selepas disyaki memiliki 33.56 gram dadah jenis syabu dan sepucuk pistol jenis revolver.

Katanya, suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun itu dipercayai mengedar dadah sekitar Serdang dan membeli pistol tersebut daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019 untuk melindungi diri.

“Semakan mendapati wanita warga asing itu merupakan teman wanita seorang daripada suspek, tidak memiliki pasport dan telah berada di dalam negara ini sejak tiga tahun lepas.

“Tiga lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine hasil saringan ujian air kencing,” katanya.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga 4 Januari 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :