Seorang mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran ladang organik, Gohtong Jaya yang berjaya diselamatkan ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam Bharu, Hulu Selangor pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

‘Tanah jatuhi khemah, saya dan ibu merangkak selamatkan diri’

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 16 DIS: Mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran ladang organik, Gohtong Jaya terpaksa merangkak keluar menyelamatkan diri apabila khemah mereka ditimpa tanah.

Bagaimanapun adik lelaki Teh Lynn Xuan, 22, tidak sempat menyelamatkan diri dan meninggal dunia dalam kejadian awal pagi tadi, lapor Berita Harian.

“Kami dapat rasa khemah mula tidak stabil dan dijatuhi tanah. Nasib baik saya sempat keluar khemah dan pergi ke tempat lebih selamat. Saya dan ibu berjaya merangkak keluar serta menyelamatkan diri.

“Ada kanak-kanak dan bayi meninggal dunia, kejadian itu berlaku terlalu cepat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Leong Jim Meng, 57, berkata keluarganya terperangkap apabila tanah menutupi khemah namun sempat menyelamatkan diri ke kawasan parkir dan menghubungi pihak berkuasa.

“Kami sedang tidur ketika kejadian itu berlaku pada jam 2 pagi. Keadaan terlalu gelap dan kami tak nampak kejadian secara jelas.

Terdahulu, lapan individu disahkan maut akibat tanah runtuh berhampiran Father’s Organic Farm, Gontong Jaya yang dianggarkan bomba setinggi 30 meter dengan keluasan runtuhan sebesar tiga ekar.


Pengarang :