Wakil rakyat Permatang, Rozana Zainal Abidin dan kakitangan bergambar di rumah penduduk penduduk keturunan Tionghoa yang menerima bantuan Tahun Baharu Cina daripada Persatuan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Tanjong Karang pada 17 Januari lalu. Foto Facebook YB Rozana Zainal Abidin, ADUN Permatang
ADNSELANGOR

30 penduduk Tionghoa DUN Permatang terima bantuan Tahun Baharu Cina Pekawanis

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 30 penduduk Tionghoa di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima bantuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina daripada Pertubuhan kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) pada 17 Januari lalu.

Bantuan berupa wang tunai RM200, tuala dan air mineral itu disampaikan oleh wakil rakyat Permatang yang turut menyumbangkan sekotak limau kepada semua penerima.

Menurut Rozana Zainal Abidin, bantuan kepada 12 penerima disampaikan di Balai MPKK Kampung Bukit Belimbing, Tanjong Karang.

“Bantuan kepada 18 lagi penerima kita sampaikan dengan pergi ke rumah mereka di kawasan Tanjong Karang.

“Saya pergi dari rumah ke rumah kerana memikirkan keadaan kesemua penerima berkenaan yang merupakan warga emas atau mempunyai masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rozana mengucapkan terima kasih kepada Pekawanis di bawah Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad atas sumbangan tersebut dan berharap bantuan itu dapat menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina penerimanya.

Pada 17 Januari lalu, Masdiana memberitahu, Pekawanis memperuntuk sejumlah RM308,000 bagi sumbangan perayaan Tahun Baharu Cina 2023 yang memanfaatkan 1,320 penduduk dari 44 DUN dengan masing-masing menerima RM200 selain keperluan asas.

Katanya, peningkatan sebanyak RM132,000 berbanding tahun lalu dibuat bagi memastikan lebih ramai penduduk negeri ini menerima sumbangan tersebut.


Pengarang :