KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sampah pukal sempena Tahun Baharu Cina di Jenjarom, Kuala Langat pada 18 Januari 2023. Foto Facebook KDEBWM
AGENSI SELANGOR

KDEBWM kutip 5,028 tan sampah pukal di tiga PBT sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 22 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sebanyak 5,028 tan sampah pukal dalam tempoh dua minggu di tiga kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kutipan sampah pukal tersebut melibatkan 875 lokasi di Klang, Subang Jaya dan Shah Alam sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

‘KDEBWM menjalankan kutipan pukal seperti biasa di setiap kawasan PBT, tetapi tong Roll On Roll Off (RORO) disediakan setiap musim perayaan. Fokus kutipan sampah pukal ialah di kawasan majoriti penduduk yang menyambut perayaan tersebut.

“Bagi ketiga-tiga kawasan ini, sejak awal Januari sebanyak 3,352 perjalanan dibuat dengan kumulatif berat kutipan sebanyak 5,028 tan,” katanya dihubungi SelangorKini.

Jelas Ramli, bagi sesetengah kawasan pula, PBT masing-masing yang menguruskan sendiri sampah pukal sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Perbincangan dibuat bagi mengenal pasti kawasan memerlukan kutipan pukal perayaan dan kita sentiasa memastikan dapat memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.


Pengarang :