Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD) diatur gerak bagi memberi bantuan menghantar barangan keperluan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di sekitar daerah Segamat, Johor pada 24 Januari 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

Banjir di Johor: Mangsa terus meningkat 3,967 orang setakat 12 tengah hari

JOHOR BAHRU, 25 JAN: Keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,967 orang setakat 12 tengah hari ini, berbanding 3,612 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata enam pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan keseluruhan 41 PPS di lima daerah terjejas banjir setakat ini.

“Segamat masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,417 orang daripada 399 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS.

“Diikuti Kluang melibatkan 1,191 orang daripada 341 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS,” menurut JPBN.

JPBN memaklumkan di Kota Tinggi 568 mangsa daripada 138 keluarga berlindung di enam PPS manakala di daerah Mersing, terdapat empat PPS yang menempatkan 640 penduduk daripada 194 keluarga.

Batu Pahat pula mencatatkan 151 mangsa daripada 32 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS sementara dua PPS dibuka di Muar sebagai persediaan kemungkinan daerah berkenaan dilanda banjir, menurut jawatankuasa itu.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan tahap bahaya di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala di daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian dijangka menerima hujan lebat berterusan tahap buruk, hari ini.

Sementara itu, tiga sungai di Johor melepasi paras bahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada pada paras 19.13 meter (m), Sungai Segamat (Segamat Kecil) 37.55m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) 15.7m.

– BERNAMA


Pengarang :