EXCO Sukan, Mohd Khairuddin Othman di majlis Ceria Atlet Selangor 2023 di Kampung Bahagia Bukit Lagong Sungai Buloh pada 19 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hargai jasa 45 bekas atlet, Selangor salur bantuan hampir RM200,000

SUNGAI BULOH, 19 JAN: Seramai 45 bekas atlet Selangor dalam kalangan berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan membabitkan peruntukan hampir RM200,000.

EXCO sukan berkata bantuan Ceria Atlet Selangor (CAS) 2023 dapat menjamin kehidupan lebih selesa selain tanda penghargaan terhadap jasa mereka yang pernah mengharumkan nama negeri.

“Selangor akan cuba mendekati semua atlet yang pernah membawa nama negeri serta negara ke pertandingan berprestij.

“Bantuan meliputi kos pembinaan rumah, baik pulih kediaman serta membeli peralatan atau perabot. Bergantung kepada keperluan mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika melancarkan CAS 2023 hari ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (tiga kiri) menyampaikan cek cura kepada bekas atlet Selangor berupa Rumah Rakyat MBSJ kepada Muhammad Koh Abdullah (tengah) dan geran tanah kepada Abdul Mutalib Mydin (dua kanan) pada majlis Ceria Atlet Selangor 2023 bertempat Kampung Bahagia Bukit Lagong, Sungai Buloh pada 19 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau menambah Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan sedang berusaha mendapatkan lokasi untuk aktiviti muzik jalanan (busking) serta tapak niaga kepada golongan berkenaan.

“Kita harap usaha membantu mereka akan mendapat sokongan pelbagai pihak serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus melancarkan perancangan,” katanya.

Mohd Khairuddin turut menyampaikan geran milikan tanah kepada bekas atlet berbasikal Mutalib Mydin dan bantuan rumah rakyat kepada Muhammad Koh Abdullah yang merupakan bekas atlet angkat berat.

Wakil rakyat Paya Jaras itu turut merasmikan jambatan yang dibina di hadapan rumah Mutalib hasil sumbangan Kerajaan Negeri.


Pengarang :